Penyerang kereta api Paris 2015 cadang dipenjara

Pendakwa raya Perancis mencadangkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang warga Maghribi yang cuba melakukan serangan ke atas sebuah kereta api menuju ke Paris pada lima tahun lepas yang digagalkan oleh penumpang kereta api itu.

Ayoub El Khazzani mengaku menaiki kereta api laju untuk perjalanan dari Amsterdam ke Paris dengan menyembunyikan senjata jenis AK-47 dan 300 peluru dengan niat untuk menyerang tentera Amerika Syarikat (AS).

Pendakwa raya juga memohon hukuman penjara 30 tahun terhadap tiga suspek yang membantu Khazzani dan Abdelhamid Abaaoud, yang menurut Khazzani adalah ketua operasi.

Abaaoud dipercayai adalah salah seorang dalang dalam beberapa serangan di Eropah, termasuk kejadian pada 13 November 2015 di dalam dan sekitar kota Paris. Dia dibunuh beberapa hari kemudian apabila polis Perancis mengepungnya sehingga ke pinggir Paris.

Khazzani memberitahu mahkamah pada awal perbicaraan bahawa dia pergi ke tandas untuk membuat persediaan serangan tetapi dia dalam keadaan yang tidak sihat.

Apa pun, dia mengeluarkan pistol dan senjata automatik AK-47 dari beg dan melengkapi persediaannya.

Apabila keluar dari tandas, dia terserempak dengan seorang penumpang, Mark Moogalian dan kemudian menembaknya di belakang menggunakan pistol apabila profesor dari England itu cuba merampas senapang automatiknya.

Khazzani berkata, dia kemudian melihat Spencer Stone, seorang anggota tentera udara AS yang sedang bercuti dengan rakan-rakannya.

“Saya mengacu senjata di kepalanya, saya tidak dapat melakukannya. Saya tidak dapat menjelaskan kepada anda, ia terlalu sukar, saya membiarkan dia menahan saya,” katanya.

Pendakwa raya berkata, Khazzani gagal melaksanakan serangan dalam kereta api itu kerana peluru senjatanya tidak berfungsi dan juga campur tangan penumpang yang berjaya menangkapnya.

Pendakwa raya juga memuji penumpang kereta api itu sebagai wira.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here