30,000 tan sampah banjir di pantai timur

Bencana banjir yang melanda daerah ini baru-baru ini meninggalkan lebih 30,000 tan sampah yang perlu dibersihkan

Justeru, Majlis Perbandaran Kemaman telah memulakan kerja-kerja pembersihan sampah sejak Ahad lalu dan dijangka selesai dalam tempoh seminggu.

Menurut Yang Dipertuanya Jusman Ibrahim, kerja pembersihan itu melibatkan hampir 200 kakitangan majlis serta dibantu beberapa agensi kerajaan lain seperti bomba serta sukarelawan.

“Cabaran kerja-kerja pembersihan ialah apabila melibatkan lumpur yang telah menjadi keras.

“Proses itu memakan masa untuk dibersihkan sehingga terpaksa menggunakan hos bomba bagi memastikan kerja pembersihan berjalan lancar.

“Kira-kira 200 pekerja dikerahkan untuk mengutip sampah, di samping 30 lori dan lebih 10 jengkaut digunakan setiap hari untuk mengangkutnya ke tempat pelupusan sampah Bukit Takal di Chukai,” katanya.

Beliau berkata, kerja pembersihan segera dilakukan sejurus banjir surut bagi mengurangkan kesulitan dihadapi kesemua mangsa yang terjejas serta mengelak berlakunya penyakit berjangkit, kesan daripada bencana itu.

Selain itu, Jusman berkata pihaknya akan terus melakukan kerja-kerja penyenggaraan di setiap saliran di daerah berkenaan, khususnya di kawasan yang sering terjejas banjir, sebagai persiapan menghadapi gelombang banjir seterusnya.

Banjir gelombang keempat yang melanda Terengganu sejak Khamis minggu lalu menyaksikan lebih 8,000 penduduk di daerah Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu terjejas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here