Hampir 10 tan ayam sejuk beku dirampas

Polis merampas 9,840 kilogram (kg) ayam sejuk beku bernilai hampir RM100,000 di Jalan Banggol Kulim, di sini, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi, berkata dalam kejadian jam 2.59 pagi itu, anggota terserempak sebuah lori yang keluar daripada Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Katanya, polis menahan kenderaan terbabit dan meminta pemandu berusia 24 tahun berasal dari Machang itu, mengemuka dokumen pengenalan diri dan invois muatan yang dibawa.

“Setelah diperiksa, dokumen yang dikemuka dengan kuantiti kotak di dalam lori terbabit meragukan. Polis menahan pemandu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kuantiti jumlah kotak yang berisi ayam sejuk beku melebihi daripada jumlah dokumen,” katanya.

Azhari berkata, anggota merampas semua lebihan kotak yang berisi ayam sejuk beku, manakala yang diisytiharkan dipulangkan kepada pemilik seperti jumlah yang dinyatakan di dalam dokumen.

“Semua barang yang dirampas kemudian dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Siasatan dilakukan, mendapati penama membawa muatan kotak berisi ayam sejuk beku melebihi jumlah yang dinyatakan di dalam dokumen dengan cara menyembunyikannya di sebalik kotak yang diisytiharkan bagi mengelak daripada dibayar cukai tambahan.

“PGA7 terus memperketat kawalan bagi membanteras jenayah rentas sempadan di Malaysia-Thailand, termasuk ketika musim tengkujuh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here