Warga Malaysia bertarung nyawa di Australia

Dikenali sebagai “lelaki dalam kesunyian” di Hospital St Vincent di Sydney, tempat ramai orang mengalami sejarah hitam dalam hidup mereka.

Khaidir Abu Jalil, 34, dimasukkan ke hospital itu kerana menghidap penyakit autoimun jarang jumpa, dengan jangka hayat yang dikatakan hanya 50%. Sejak enam bulan, tiada seorang pun yang datang melawatnya.

Menurut laporan akhbar Sydney Morning Herald (SMH) di Australia, jurutera pembinaan warga Malaysia itu, tidak mengenali siapa-siapa, malah tiada seorangpun rakan.

“Kami terkejut kerana beliau baru berusia 34 tahun, prognosisnya sangat lemah, tambahan pula disebabkan begitu sakit dan menjalani rawatan intensif, tiada seorang pun pelawat yang boleh bersamanya,” lapor Dr Laila Girgis, ketua reumatologi di Hospital Umum St Vincent, Sydney kepada akhbar itu.

Laporan itu menyebut para doktor dan profesional kesihatan yang terbabit rawatannya bimbang keterasingan Khaidir akan melambatkan pemulihannya, sambil menambah mereka tidak pernah merawat pesakit yang bersendirian selama itu.

Akibat Covid-19, hospital itu terpaksa menampung peningkatan jumlah mereka yang terkandas dalam keadaan sakit atau memerlukan bantuan di Sydney, kebanyakan daripadanya tiada akses untuk perubatan.

Kata laporan itu lagi, sejak Februari, berat badan Khaidir menyusut kepada 42kg, iaitu kurang separuh berat badannya berbanding beberapa bulan sebelumnya. Suhunya pula mencecah lebih 40 Celsius setiap hari.

“Tangan dan sikunya dipenuhi kesan luka nekrosis digelar ‘Gottron papules’, menyebabkan luka hitam dan memeritkan. Akibatnya, paru-parunya juga terjejas dan beberapa kali terpaksa dikenakan resusitasi ketika di unit rawatan rapi (ICU),” lapor akhbar itu.
Menurut Dr Girgis, ketika tiba dari sebuah hospital negeri, keadaannya agak kritikal dan agak teruk.

Khaidir memberitahu SMH, beliau mengalami masalah akibat wabak apabila kehilangan pekerjaannya sebagai jurutera pembinaan di Melbourne, selain status visa tidak diketahui menyebabkannya kini menjadi gelandangan selepas kontrak sewa pangsapurinya di Victoria tamat. Keadaan lebih buruk apabila wabak turut menghalang keluarga atau rakannya daripada merentas sempadan untuk menemaninya.
Beliau dilaporkan datang ke Australia untuk meraih pendapatan demi menyara keluarganya di Malaysia.

Semasa Khaidir tiba di Hospital Umum St Vincent pada Julai, beliau belum didiagnosis selepas kali pertama jatuh sakit pada Februari. Doktor ketika itu bimbang beliau menghidap penyakit berjangkit, kata laporan itu.
Bekerjasama dengan pakar lain di hospital itu, Dr Girgis mendiagnos Khaidir menghidap penyakit autoimun yang jarang berlaku, disebut sebagai ‘dermatomiositis’. “Kadar oksigennya rendah, sukar bernafas dan perlu diberi bantuan pernafasan di ICU,” tambahnya.
Laporan itu berkata dermatomiositis jarang berlaku, tetapi lebih malang lagi apabila ujian menunjukkan Khaidir mengalami varian yang lebih teruk, dengan menunjukkan positif antibodi MDA5, yang boleh melukakan paru-paru dengan cepat. Ini turut mengurangkan risiko jangka hayatnya kepada sekitar 50% untuk enam bulan.
Bagaimanapun, hampir enam bulan terlantar di hospital, beliau dilaporkan semakin pulih dan kakitangan hospital itu optimis.

“Semasa berada di hospital, beliau kerap menangis dan bersedih. Namun, beliau tidak pernah mengeluh dan itu sesuatu yang amat mengagumkan kakitangan yang merawatnya. Para doktor yang seusianya pada mulanya terkejut dengan keadaannya, namun Khaidir pula yang meyakinkan mereka meyakinkan mereka bahawa beliau seorang pejuang,” kata laporan itu.
Sementara itu, disoal wartawan bagaimana mampu menguatkan semangat, Khaidir berkata beliau melihat swafoto dirinya yang diambil ketika paling sakit.

“Saya tidak mahu terus sebegitu. Untuk memotivasi (diri sendiri), saya melihat saja gambar diambil sebelum ini. Saya mahu meneruskan kehidupan. Dalam gambar itu saya sangat sakit, terlalu kurus,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here