Polis buka lorong kenderaan ringan di Bukit Fraser

Polis membuka jalan satu lorong kepada kenderaan ringan di KM 18.5 Jalan Kuala Lumpur-Kuala Lipis berhampiran Sungai Gumut, Hulu Selangor, dekat sini, susulan kejadian tanah runtuh di lokasi berkenaan tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arshad Kamaruddin berkata, pembukaan lorong itu akan membolehkan kenderaan ringan dari kedua-dua arah, Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Arshad berkata, pihaknya sebelum ini menutup kedua-dua arah jalan berkenaan bagi kerja-kerja pembaikan dan pembersihan yang dijangka mengambil masa dua hari untuk disiapkan pihak Jabatan Kerja Raya Hulu Selangor.

“Pihak polis sebelum itu menerima maklumat kejadian tanah runtuh itu pada 12.30 tengah hari tadi (semalam) daripada pusat kawalan Bilik Gerakan Hulu Selangor.

“Susulan kejadian itu, papan tanda amaran bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan ditempatkan di situ,” katanya.

Arshad berkata, kerja-kerja berkenaan masih diteruskan dan tiada kejadian tidak diingini berlaku ekoran kejadian itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here