MB: Buang sikap prejudis, hargai keharmonian negara

KLANG, 23 OGOS:

Belia perlu membuang sikap prejudis dan prasangka buruk bagi memastikan keharmonian yang dikecapi sejak 63 tahun lalu dikekalkan.

Dato’ Menteri Besar berkata golongan itu juga disaran menonjolkan idea lebih baik untuk memajukan negara supaya kekal aman, stabil dan makmur.

“Saya percaya ini (sambutan merdeka) tanda gembira dan cinta kepada negara tetapi lebih penting bagaimana kita pastikan negara tetap aman serta tidak mudah diporak-perandakan golongan yang kadangkala berkepentingan.

“Kita teruji ketika Covid-19, masing-masing bekerjasama dan bukti kita boleh melupakan perbezaan untuk menangani krisis serta masalah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan Jelajah Kemerdekaan Anak Muda Kota Raja di Kampung Sungai Kandis hari ini.

Beliau berkata negara akan menghadapi cabaran lebih besar pascawabak Covid-19 dan belia perlu bersedia mengadaptasi norma kehidupan baharu.

Pada majlis itu, Amirudin turut menyerahkan baju konvoi kepada Pengarah Program Muhammad Syaril Showkat Ali dan mengedarkan bendera kepada ahli majlis serta ketua kampung.

Beliau turut menunggang motosikal ke Warung Itik Salai di situ bagi menikmati makan tengah hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here