Johor, Pahang tenggelam

Keadaan banjir di Pantai Timur melibatkan Pahang dan Terengganu semakin buruk semalam dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS), dilaporkan meningkat, manakala mangsa di Johor berkurangan sedikit berbanding petang semalam.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir terus meningkat malam ini kepada 3,979 orang daripada 1,223 keluarga berbanding 3,273 orang daripada 902 keluarga yang ditempatkan di PPS petang tadi.

Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 8 malam tadi, sebanyak sembilan daerah di negeri itu terjejas membabitkan 91 PPS yang beroperasi.

Portal berkenaan memaklumkan Kuantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 1,097 orang diikuti Jerantut (634 orang), Raub (597 orang), Maran (594 orang), Rompin (420 orang), Temerloh (306 orang), Lipis (183 orang), Bentong (95 orang) dan Pekan (53 orang).

Di Terengganu, mangsa banjir melibatkan daerah Dungun dan Kemaman meningkat kepada 222 orang daripada 68 keluarga, berbanding 138 mangsa daripada 40 keluarga petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata di Dungun seramai 176 mangsa ditempatkan di dua PPS — Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serba Guna Kampung Shukor.

“Manakala di Kemaman seramai 46 mangsa dari 11 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Teladas,” katanya dalam kenyataan.

Di Johor, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 6,391 orang daripada 1,641 keluarga berikutan tiga PPS di Johor Bahru, ditutup iaitu Dewan Komuniti Pandan, Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru Masai dan Surau Desa Makmur.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor R Vidyananthan berkata, lapan daerah terjejas banjir setakat 8 malam tadi dengan 60 PPS dibuka iaitu masing-masing dua di Pontian dan Batu Pahat; Kluang (19); Kota Tinggi (17); Johor Bahru (10); Kulai (lima); Mersing (empat) dan Segamat (satu).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here