Malaysia terima 12.8 juta dos vaksin Pfizer akhir Februari – KKM

Negara akan menerima 12.8 juta dos vaksin Pfizer mulai akhir Februari meliputi 20 peratus populasi rakyat dengan dua dos seorang.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan menjelaskan negara juga akan mendapatkan tambahan 12.2 juta dos lagi, menjadikan keseluruhan 25 juta dos vaksin itu untuk 39 peratus populasi.

Kerajaan melalui KKM sebelum ini memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd bagi mengeluar dan membekalkan vaksin COVID-19.

Perjanjian itu adalah lanjutan kepada perjanjian “Binding Heads Of Terms” atau perjanjian awal untuk mengikat terma-terma yang ditandatangani pada 24 November lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini memaklumkan Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini.

Katanya, KKM telah membangunkan Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin COVID-19 kepada rakyat berjalan lancar apabila bekalan diperoleh.

“Buat masa ini, kerajaan telahpun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin COVID-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi,” kata Muhyiddin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here