Kenderaan keluar sempadan negeri kurang, rakyat patuh PKPB

Jumlah kenderaan keluar masuk dari daerah ini ke negeri Pahang dilihat berkurangan sebanyak dua kali ganda susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, jika sebelum ini kira-kira 2,000 kenderaan keluar dan masuk, namun sebaik PKPB dilaksanakan hanya 831 kenderaan berbuat demikian.

“Jumlah itu berdasarkan dua hari PKPB dilaksanakan dan kita percaya ia akan terus berkurangan.

“Ini berikutan polis akan terus memperketatkan urusan keluar masuk dan akan terus mengeluarkan kompaun berjumlah RM1,000 sekiranya ada yang merentas negeri tanpa alasan kukuh,” katanya.

Beliau berkata, pengurangan jumlah kenderaan itu juga menyaksikan orang ramai mematuhi arahan rentas negeri.

“Bagaimanapun selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, urusan keluar masuk orang ramai yang mahu pulang ke rumah masing-masing dari kampung halaman akan diberi kelonggaran sehingga hari ini.

“Orang ramai yang mahu pulang ke rumah masing-masing boleh menggunakan bil utili sebagai bukti tempat tinggal selain MyKad kepada anggota sekatan jalan raya (SJR) yang bertugas,” katanya.

Difahamkan terdapat dua SJR di daerah ini membabitkan laluan ke negeri Pahang iaitu di Jalan Bahau-Kemayan berhampiran Felda Sungai Lui dan Jalan Bahau-Keratong berhampiran Ladang Geddes.

Dalam pada itu, Chang Hook turut mengingatkan kepada penduduk supaya lebih serius dalam isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB dan tidak mengambil mudah dengan apa yang kerajaan uar-uarkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here