AMANAH, DAP tolak PRN ketika Covid-19 melonjak di Sarawak

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak dan Democratic Action Party (DAP) Sarawak menolak cadangan agar Plihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak diadakan dalam masa terdekat ini berikutan kenaikan kes Covid-19 di negeri ini yang semakin melonjak setiap hari.

Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali berkata, cadangan mengadakan PRN dalam keadaan pandemik Covid-19 masih melanda bakal mengundang risiko penularan yang melebihi daripada kemampuan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, walaupun dengan adanya standard operasi prosedur (SOP) yang dicadang dan dirancang, namun apa yang berlaku di PRN Sabah telah membuktikan sukarnya untuk menuruti SOP terutamanya di pihak parti memerintah.

 “Sekalipun mematuhi tuntutan perlembagaan, apa yang mungkin berlaku ialah PRN yang akan diadakan bakal memberikan kemenangan mudah kepada pihak parti memerintah akibat jumlah kehadiran yang keluar mengundi rendah dan pengundi luar tidak akan dapat balik.

“Hal ini disebabkan kelebihan kepada mereka untuk mengawal pergerakan pihak lawan disebabkan adanya SOP yang jika dilihat secara realitinya ia agak berat sebelah,” ujar beliau.

Menurut Fadillah, sebagai parti pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) mungkin beranggapan mereka ada kelebihan sekiranya diadakan PRN dalam keadaan sekarang.

“Bagi mereka yang berada di pihak parti pemerintah, sering kali ada pelepasan istimewa yang seharusnya tidak boleh ada hanya kerana mereka dianggap penting.

“Justeru, saya secara peribadi sangat berterima kasih kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus menjalankan tugas sebaik mungkin walaupun mereka sendiri terdedah kepada risiko jangkitan Covid 19 lebih tinggi,” tegas Fadillah.

Kelmarin, Bernama melaporkan Masing sebagai berkata anggota Kabinet Sarawak bercadang untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah R’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menarik balik perisytiharan Darurat di negeri ini sekiranya ia dapat mengawal penularan Covid-19.

Beliau berkata demikian dalam pesanan aplikasi WhatsApp kepada Bernama setelah beberapa anggota Kabinet negeri mengadakan” perbincangan secara tidak formal’ mengenai perkara itu.

Katanya, jika rayuan itu dipertimbangkan dengan baik maka ia akan membuka jalan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) kerana tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berakhir Jun ini.

“Ia dibincangkan secara tidak rasmi dalam kalangan rakan sekerja saya sebagai cara mengadakan PRN12 Sarawak (pilihan raya Negeri ke-12), b4 (sebelum) DUN (penggal DUN Sarawak) berakhir pada Jun 2021 setelah MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Kabinet Negeri) (mesyuarat) pada 21 Januari lalu (Rabu),”demikian pesanan itu.

Fasal 1 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat apabila wujud keadaan yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan, atau mana-mana bahagian terancam.

Di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, antara lain, memperuntukkan larangan mengadakan pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang mengulas kenyataan Masing, beliau berkata adalah tidak bertanggungjawab untuk seorang menteri kanan Sarawak mementingkan pelaksanaan pilihan raya negeri ketika sistem penjagaan kesihatan negeri berusaha keras menangani jangkitan COvid-19.

Menerusi sesi live dalam akaun Facebook miliknya, Chong menegaskan jika proklamasi Darurat ditarik balik di Sarawak), ia sekali gus membolehkan pilihan raya diadakan selewat-lewatnya 6 Jun ini.

“Pada PRN Sabah diadakan pada tahun lalu ketika negara melaporkan jangkitan tempatan Covid-19 harian hampir satu angka sahaja, namun jumlah kes baharu meningkat dengan drastik selepas pilihan raya berakhir di negeri terbabit berakhir,” jelasnya.

Justeru, tambah beliau Kerajaan GPS seharusnya fokus dalam menangani kes Covid-19 di negeri ini, malah bersetuju dan menyokong usaha Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas membendung penularan sama ada jangkitan tempatan mahupun import di negeri ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here