Pulau Pinang menghantar kembali 24 bekas sampah kertas ke AS, Kanada

BUTTERWORTH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan 24 kontena membawa buangan kertas dari Amerika Syarikat dan Kanada yang cuba dilupuskan di negara ini, dihantar pulang ke negara asal masing-masing dalam pemeriksaan di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) semalam.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemeriksaan ke atas kontena tersebut mendapati ia mengandungi buangan kertas tanpa mendapat surat kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling Malaysia. Siasatan kami mendapati 19 kontena dari Kanada dan lima unit dari AS yang cuba dilupuskan di negara ini, pengimportnya tidak mempunyai fasiliti penerima yang memiliki lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), serta tiada lesen pengilang daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kegagalan pengimport mendapatkan kelulusan di premis penerima boleh membawa implikasi negatif seperti kemungkinan berlaku pelupusan dan pemprosesan sisa secara haram, pembakaran terbuka serta pelbagai masalah lain, katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, proses kitar semula di premis haram juga boleh menimbulkan isu pencemaran serius memandangkan operasi kitar semula kertas terpakai memerlukan kuantiti air yang banyak sehingga 45m padu air bagi setiap satu tan metrik kertas.

Sharifah Zakiah berkata, operasi kitar semula itu juga akan menghasilkan air sisa atau efluen banyak serta boleh mencemarkan parit dan sungai, jika tidak dirawat terlebih dahulu. Mengikut perundangan, efluen perindustrian perlu dirawat terlebih dahulu, sehingga mematuhi had piawaian mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 sebelum dilepaskan.

Selain pegawai JAS Pulau Pinang, katanya, operasi pemeriksaan di NBCT turut disertai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia, wakil operator pelabuhan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan agensi perkapalan. Beliau berkata, terdapat peningkatan ketara kemasukan buangan sisa pepejal, termasuk buangan kertas ke negara ini, sejak China mengumumkan larangan mutlak ke atas semua jenis buangan sisa pepejal ke negara itu 1 Jan lalu.

“China menguatkuasakan larangan ke atas buangan plastik bermula 1 Jan 2017, diikuti larangan 24 jenis buangan sisa pepejal lain pada 27 Julai tahun sama dan keadaan itu menyebabkan pemain industri yang kebiasaannya mengimport buangan ke China, berpindah operasi ke negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia.”

Katanya, masalah pengimportan itu perlu ditangani dengan serius kerana bahan buangan diimport melalui NBCT mungkin dibawa ke negeri lain bagi tujuan pemprosesan atau pelupusan secara haram. Sehubungan itu, kerjasama semua pihak diperlukan bagi mengelakkan Malaysia menjadi tong sampah dunia.-Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here