Polis buka kertas siasatan terhadap ‘Anonymous Malaysia’

Polis membuka kertas siasatan terhadap ‘Anonymous Malaysia’ yang memberi amaran kedua untuk melancarkan serangan siber, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Zainuddin Yaacob berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia menerima laporan berhubung ancaman penggodam terbabit dan akan menjalankan siasatan atas kesalahan mendatangkan khianat awam dan ugutan jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 505 dan 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (1998),” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, kumpulan penggodam “Anonymous Malaysia” membuat ancaman untuk menggodam laman sesawang kerajaan menerusi satu klip video yang tular di platform media sosial.

Antara dakwaan kumpulan itu dalam klip video berdurasi 55 saat itu ialah sistem sekuriti Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi digodam sehingga hari ini.

Anonymous Malaysia hari ini mengeluarkan satu lagi video berdurasi tiga minit 17 saat yang mendakwa “scammer” terus menipu orang ramai menerusi e-mel, panggilan telefon dan laman sosial sejak 2015 berikutan kebocoran data.

Kumpulan itu mendakwa punca utama perkara itu berlaku kerana pelayan daripada pihak swasta dan kerajaan yang mengandungi maklumat peribadi digodam dan dibocorkan sebelum dijual kepada pihak ketiga.

Selasa lepas, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan notis amaran kepada semua agensi kerajaan supaya mengambil langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here