Ebit Lew tidak dibenar teruskan bantuan di Lahad Datu

Ebit yang sebelum ini telah membantu pengIslaman lebih 600 orang kaum Bajau Laut berkata beliau boleh dikenakan denda atau penjara sekiranya meneruskan misi tersebut.

Pendakwah tersebut meminta maaf kepada penduduk terbabit dan memaklumkan terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang beliau rancang.

“Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di pulau-pulau di Lahad Datu yang saya Islamkan.

“Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah. Pagi ini saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke Pulau-pulau di Lahad Datu. Minta diberhentikan bantuan disekitar sini.

 “Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan didenda 100 ribu atau penjara 3 tahun,” kata Ebit dalam hantaran terbaharu di Facebooknya.

Pendakwah tersebut telahpun membeli kayu dan bahan untuk pembinaan tiga buah sekolah.

Dia juga telah mengumpulkan tujuh orang guru bagi tujuan pendidikan dan mengajar agama kepada penduduk yang telah di Islamkan.

“Semangat mereka nak mendidik. Dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf yer ustaz ustazah semua.

“Tadi ramai menangis sedih termasuk anggota yang patutnya bawa kami ke pulau-pulau. Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah. Macam keluarga sendiri. Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua.

Saya akan terus ke Tawau dan tunggu flight di Tawau. Terima kasih semua. Sehingga berjumpa lagi jika ditakdirkan Allah. Saya serahkan segala urusan kepada Allah. Cukuplah kepada Allah orang mukmin itu berserah,” kata Ebit.

Ebit bagaimanapun tidak memberitahu mengapa beliau tidak dibenarkan untuk meneruskan penghantaran bantuan kepada penduduk di pulau berkenaan.

Bagaimanapun halangan itu berlaku selepas dia membantu mengIslamkan 157 orang kaum Bajau Laut  kelmarin, dan sekali  lagi membantu 490 orang kaum tersebut dari empat buah kampung memeluk Islam semalam.

Menurut Ebit, kaum Bajau Laut yang tinggal di atas air di kawasan lautan di negeri itu majoritinya tidak mempunyai agama.

Dia yang berada di Lahat Datu selama dua hari hadir untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang didakwa tidak mempunyai negara itu selepas mendengar mereka memerlukan bekalan makanan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here