Empat puluh empat batang kayu batak dengan anggaran nilai RM11,000 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Bintulu di Batu 33, Jalan Lama Bintulu-Miri pada petang Selasa.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Bintulu ASP Ezuandi Bahadin berkata kayu batak yang tiada cop dari Jabatan Hutan Sarawak itu dirampas menerusi pemeriksaan sebuah lori.
Ekoran itu, seorang lelaki berumur 50 tahun yang merupakan pemandu lori itu ditahan bagi membantu siasatan.
Kayu dan lori terbabit dibawa ke Markas Operasi PPMW5 Bintulu sebagai bahan bukti kes.
Laporan polis sudah dibuat berhubung kes ini yang mana kes ini akan diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
Kes ini katanya akan disiasat di bawah Seksyen 95(1) Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.