Isu “Sampah terbang” masih berterusan di flat PPR Seri Pantai

Seorang pelajar lelaki maut akibat ditimpa kerusi ‘terbang’ dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam di sini, tiga tahun lalu nampaknya masih belum menginsafkan segelintir penghuni flat yang tiada kesedaran sivik.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pangsapuri di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur termasuk di pangsapuri yang menjadi saksi kematian mangsa berusia 15 tahun itu mendapati masih banyak sampah dibuang dari tingkat atas.

Selepas tiga tahun kejadian tersebut, tinjauan di PPR Seri Pantai mendapati kawasan itu masih dalam keadaan sama iaitu kotor dan berbau busuk.

Sisa sampah tersangkut pada atap. Di bahagian tangga pula terdapat najis kucing manakala di balkoni tingkat satu ada longgokan baju yang disidai.

Selain itu, terdapat juga beberapa tilam lama yang diletakkan di bahagian bawah blok dan di tingkat satu yang lokasinya jauh dari tempat pengumpulan sampah sekali gus menampakkan sisi hodoh PPR tersebut.

 Penduduk yang ditemui mengakui perbuatan melempar sampah dari tingkat atas masih berlaku.

Perkara itu sukar diatasi meskipun pelbagai inisiatif dilakukan pihak persatuan dan jawatankuasa demi meningkatkan kesedaran penduduk.

Seorang penduduk, Mohd Shukor Awang, 56, berkata, selepas kejadian remaja maut ditimpa kerusi, masalah kejadian lempar barang dari tingkap mula berkurang dan tidak seteruk dulu.

“Kalau sebelum ini ada kes pembakar roti, kerusi dan almari dicampak dari atas, tapi lepas kejadian itu ia mula berkurang.

“Namun, sampah kecil masih ada, begitu juga botol arak yang dibaling dari atas,” katanya.

Menurut beliau, sebelum ini ada cadangan untuk membina laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan itu sebagai salah satu langkah meningkatkan ciri keselamatan.

“Bagaimanapun, sehingga kini belum ada laluan pejalan kaki itu. Mungkin masalah bajet.

“Ada juga kawasan hotspot bawah blok yang telah dipasang jeriji besi untuk tujuan keselamatan iaitu mengelak sampah menimpa pejalan kaki.

“Kamera litar tertutup (CCTV) juga ada tetapi tidak pasti sama ada masih berfungsi atau sebaliknya.

“Saya yang tinggal di sini sejak 10 tahun lalu mendapati isu lempar sampah ini masih belum berkesudahan, mungkin disebabkan sikap penduduk sendiri yang telah terbiasa buang sampah terus dari tingkap,” katanya.

Shahrul Nizam Abdullah, 41, pula memaklumkan, masalah itu hanya ditimbulkan segelintir penduduk.

“Mereka sudah diberi nasihat dan teguran, tetapi masih ada yang degil. Walaupun tak selesa tapi saya masih bertahan kerana rumah di sini dekat dengan tempat kerja dan sewanya pula murah berbanding di luar.

Sisa sampah yang dibuang dari tingkat atas.

“Saya kasihan dengan kontraktor pembersihan, baru saja sapu sampah tak sampai beberapa minit kemudian sudah ada sampah lain jatuh ke bawah,” katanya yang bekerja sebagai pemandu peribadi.

Seorang lagi penduduk, Shahril Saidon, 35, berkongsi pengalaman hampir terkena botol kaca yang dibaling dari atas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here