Isu kartel: Peguam saran KPN jangan emosi

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dinasihatkan untuk tidak emosi dan bertindak menangani sendiri masalah kartel polis yang wujud dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, Abdul Hamid tidak boleh mengetengahkan siasatan dalam keadaan beliau sendiri merupakan pengadu dan juga mangsa.

Beliau menyifatkan penglibatan Abdul Hamid bakal membuka ruang pertikaian ramai pihak yang mungkin cuba untuk menimbulkan persepsi menganggap keputusan yang akan diambil kelak bersifat gopoh.

 “Mengikut perundangan, apabila awak sendiri telibat sebagai seorang mangsa, maka awak mempunyai kepentingan dalam aduan tersebut. Awak kena mengelakkan penentu dalam aduan itu.

“Awak tak boleh buat keputusan kerana akan ada persepsi adakah awak buat aduan itu kerana tergopoh gapah. Ini bukan soal peribadi. Ini soal kedilan dan undang-Undang.

“Tak boleh secara emosi terpengaruh untuk kenakan tindakan sebelum siasatan selesai,” tegasnya dalam satu siaran langsung yang disiarkan di Facebook Jom Channel malam tadi.

Terdahulu, PDRM dilaporkan telah mengenal pasti individu yang terlibat dalam kartel yang cuba menjatuhkan Abdul Hamid.

Tanpa mendedahkan nama mereka yang terlibat, Abdul Hamid berkata, isu berkenaan masih terkawal dan berada dalam pengawasannya dan yakin mereka yang terbabit tidak dapat `bergerak’ ketika ini.

Beliau juga memberi jaminan vahawa tindakan susulan akan diambil kepada mereka yang terlibat selain akan mengadakan perbincangan berhubung isu itu bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan seterusnya akan berjumpa dengan pengarah jabatan PDRM.

Dalam kenyataan berasingan, Abdul Hamid juga memberi jaminan bahawa isu kartel dalam kalangan pegawai polis akan dapat ditangani pihaknya tanpa perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Sementara itu, Haniff mengulangi saranannya bahawa isu membabitkan kartel pegawai polis sama sekali tidak boleh diselesaikan oleh sistem dalaman PDRM yang diketuai Abdul Hamid sekarang ini kerana beliau mempunyai kepentingan sebagai mangsa.

Beliau turut menyanggah pendapat beberapa pihak yang mendesak KPN menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) agar dapat menumpaskan kartel di dalam PDRM.

Menurutnya, tiada keperluan untuk melaksanakan RCI kerana fungsi RCI itu sendiri bukan bertujuan untuk menyiasat jenayah, sebaliknya lebih kepada untuk menyiasat hal-hal terpencil.

Justeru itu, beliau menyarankan agar Abdul Hamid melaporkan perkara berkenaan kepada SPP yang mempunyai tanggungjawab luas termasuk menentukan isu disiplin anggota polis.

“KPN patut melaporkan pada Suruhanjaya Pasukan Polis bahawa perkara ini telah berlaku. Perkara ini juga membabitkan nama baik KPN. Kalau anda kendalikan, maka akan ditohmahkan sebagai gopoh,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here