Seramai 100 penduduk Kampung Kompimpinan di sini, menerima bantuan Bakul Makanan B40 Kerajaan Negeri Sabah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Ir. Shahelmey Yahya, berkata setakat ini pihaknya telah mengagihkan sebanyak 188,000 bakul makanan daripada sasarannya iaitu 320,000 bakul makanan.
“Program ini akan terus dijalankan agar lebih ramai lagi penduduk yang akan menerima manfaat daripadanya.
“Dianggarkan, program ini akan selesai pada hujung bulan Februari atau selewat-lewatnya bulan Mac 2021” katanya ketika menyerahkan bantuan tersebut di Balai Raya Kampung Kompimpinan, di sini semalam.
Pada majlis itu, pesara Moinie Ondu, 65, yang menerima bantuan daripada program berkenaan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana menyenaraikan nama beliau sebagai penerima bantuan.
“Saya berpuas hati kerana kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah saya dan keluarga semasa pandemik COVID-19.
“Saya berharap program seperti ini akan dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai lagi individu yang memerlukan,” jelas Moinie.
Turut menyuarakan pendapat yang sama, Pengurus Pusat Internet Komuniti, Sylvia Linus, 42, yang amat bersyukur atas bantuan yang diterimanya.
“Saya sangat bersyukur kerana program ini dapat membantu penduduk kampung yang majoritinya bekerja dalam bidang pertanian secara kecil-kecilan dan pendapatan mereka terkesan dengan pandemik ini,
“Saya juga melihat keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat Sabah terbela khususnya dari aspek kebajikan,” katanya.