Dr M diberitahu berehat – biar Mukhriz teruskan legasi

Kuala Lumpur, Jan 24.
Seorang pemimpin Umno menggesa Dr Mahathir Mohamad berehat dari arena politik, selepas bekas perdana menteri itu terus mengkritik kerajaan – terbaharu menyertai demonstrasi anjuran NGO di depan Istana Negara, semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi berkata Mahathir wajar memberi peluang kepada anaknya, Mukhriz serta anak muda lain untuk meneruskan legasi yang telah diciptanya.Beliau berpandangan kejayaan yang telah dicipta Mahathir sepanjang pentadbirannya, termasuk “menumbangkan” kerajaan Barisan Nasional pada 2018 sudah cukup untuknya berehat.

“Cukuplah Tun. Biar Mukhriz dan anak muda lain teruskan legasinya. Berehatlah,” katanya di Facebook.

Menurut Adun Rengit itu, pelbagai tindakan telah dilakukan Mahathir untuk kekal relevan namun imejnya terus merudum selepas beliau tewas di Langkawi pada PRU15 dengan hilang deposit.

“Selepas buat kejutan luar biasa di PRU14 imej Tun terus merudum. Macam-macam dia buat. Dia tubuh parti Pejuang. Akhirnya dia hilang deposit di Langkawi.

“Tidak mungkin Tun M ada penyakit ‘Alzheimer politik’?,” katanya.

Ketika menyertai himpunan “Selamatkan Tanah Air Kita Suara Rakyat Ke Istana Negara’ bersama 1,000 rakyat biasa di hadapan Istana Negara semalam, Mahathir mendakwa rakyat kini ramai sengsara, hingga ada yang membunuh diri kerana desakan hidup.

Kelmarin, Mahathir menggesa Anwar Ibrahim mengadakan pilihan raya untuk menguji sokongan sebagai perdana menteri.

Mahathir ketika mencabar Anwar berbuat demikian berkata beliau memenangi lima PRU dengan majoriti dua pertiga, yang membuktikan sokongan rakyat terhadapnya sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here