Murid Sedia Patuhi SOP Pembelajaran Bersemuka

Hari pertama sesi persekolahan dimulakan secara bersemuka menyaksikan semua murid tahun satu, dua dan pra sekolah Sekolah Kebangsaan Seberang Marang (SKSM), Marang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Sebagai langkah persediaan awal sesi persekolahan, Guru Besar SKSM Zakaria Omar, telah membuat persediaan rapi seminggu lebih awal bersama para guru beliau demi memastikan keadaan persekitaran sekolah terutamanya bilik darjah dalam keadaan kemas dan sistematik mengikut ketetapan SOP pembelajaran dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih dikuatkuasakan.

“Menyambut kedatangan murid-murid pada pagi ini seolah-olah memberi pengalaman baharu kepada sekolah tentang bagaimana sesi persekolahan dalam kawalan pandemik dilaksanakan dengan pengamalan norma baharu yang perlu dijadikan rutin dalam seharian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pemerhatian pendaftaran murid tahun satu dan pra sekolah oleh guru bertugas dengan mengambil suhu badan murid, pemakaian pelitup muka, dalam jarak fizikal satu meter dan berbaris setiap seorang mengikut tertib barisan pada hari permulaan sekolah, di sini semalam.

Menurut Zakaria, semua murid tahun satu pada hari ini akan diberi pendedahan mengenali kelas-kelas dan kawasan sekolah terutama tandas, bilik guru dan kantin.

“Kita andaikan murid-murid tahun satu kali ini akan lebih berdikari kerana tiada ibu bapa dibenarkan menunggu anak-anak di sekolah seperti sebelum ini, jadi murid-murid hanya akan dibimbing oleh guru kelas mereka sendiri dalam mengendalikan diri ketika di kelas mahupun di kantin dan seluruh kawasan sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Marang Mohamad Nawawi Rani, turut membuat tinjauan bersama pegawai beliau bagi melihat sendiri pengurusan pihak sekolah dalam mengendalikan pendaftaran murid baharu serta murid pra sekolah di SKSM.

“Secara keseluruhannya saya berpuashati dengan apa yang telah diatur oleh Guru Besar dan petugas semasa sesi pendaftaran tadi kerana semua murid kita mematuhi arahan dan SOP dengan baik.

“Malah, ibu bapa juga turut memberikan kerjasama yang baik dan hanya menunggu di luar kawasan sekolah selepas menghantar anak-anak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Pegawai Penghubung SKSM dari Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, Sarjan Akmal Adli Abdul Jalil yang turut hadir meninjau hari pertama sekolah beroperasi di seluruh negara.

Seramai 244 orang murid yang hadir pada pagi ini iaitu 96 orang bagi murid tahun satu, 98 orang murid tahun dua dan 50 orang murid kategori murid pra sekolah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here