15,282 hektar kebun getah terjejas

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan melaksanakan rawatan semburan bagi mengatasi penyakit luruhan daun (pestalotiopsis) pokok getah bermula bulan hadapan.

Pengerusinya, Datuk Mohd Salim Sharif berkata, penyakit luruhan daun itu membabitkan keluasan 15,282 hektar kebun getah milik 8,043 pekebun kecil Risda.

“Situasi itu sekali gus menyebabkan pekebun-pekebun Risda terkesan sumber pendapatan.

“Justeru, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM15.7 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pencegahan dan pengawal pestalotiopsis.

“Kerja pencegahan akan dilaksanakan pada awal bulan depan serta mengambil masa lebih kurang tiga bulan dan ia perlu dicegah sebelum merebak serta berjangkit kepada pokok lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Jempol di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Musthapa Nagoor dan Pengarah Hospital Jempol, Dr Zul Iskandar Zainudin.

Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, ketika ini penyakit berkenaan menyerang tanaman pekebun kecil seluruh negara kecuali di Perlis, Pulau Pinang dan Sabah.

“Penyakit itu mula dikesan di Segamat, Johor pada tahun 2017 dan menyebabkan keguguran daun 50 peratus sehingga 100 peratus yang mana ia menjejaskan hasil pengeluaran susu getah dan perlu ditangani bagi mengelakkan ia berjangkit kepada pokok yang lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Salim yang menerima suntikan vaksin pada program berkenaan berkata, hanya 550 daripada 140,000 penduduk di daerah Jempol sudah berdaftar untuk menerima suntikan vaksin menerusi aplikasi Mysejahtera.

Katanya, orang ramai perlu mendaftar bagi memastikan matlamat imunisasi negara sebanyak 80 peratus dapat dicapai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here