Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan telah menyita pakaian berjenama tiruan dan cakera optik tanpa dilabelkan bernilai RM33,227.90 dalam tiga serbuan berasingan.
Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan, Mohamad Hashim berkata dua daripada kes tersebut membabitkan pakaian berjenama disyaki tiruan termasuk kasut, beg, dompet dan seluar yang bernilai RM19,627.90.
Manakala, katanya satu lagi kes membabitkan rampasan cakera optik tanpa dilabelkan bernilai RM13,600.
“Sebanyak 1,700 keping cakera padat (CD) dan cakera padat video (VCD) disita di sebuah pasaraya di Sandakan pada 2 Mac lepas.
“Sementara, kes pertama pakaian tiruan membabitkan 90 unit barangan bernilai RM2,871 yang dirampas di sebuah premis perniagaan pada 3 Mac, manakala kes kedua membabitkan 452 unit barangan bernilai RM16,756.90 di sebuah premis perniagaan berasingan pada 9 Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai rampasan tersebut di Pejabat KPDNHEP Sandakan di sini semalam.