Singapura telah mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram di Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga.
Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam laman sesawang mereka menyatakan arahan itu dibuat berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) pada produk tersebut yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak.
“Arahan menarik balik itu sedang berjalan. Ladang itu juga digantung dan SFA akan hanya menarik balik penggantungan itu apabila ladang itu telah menyelesaikan isu pencemaran SE tersebut,” menurut kenyataan disiarkan di laman sesawang SFA.
Menurut kenyataan itu, SE boleh dihapuskan dengan pemanasan, telur adalah selamat untuk dimakan jika mereka dimasak dengan betul.
Katanya, simptom jika terkena jangkitan termasuklah cirit-birit, sakit perut, demam, mabuk dan muntah-muntah.