Buaya 4.5 meter ditangkap

Seekor buaya dewasa hidup berukuran 4.5 meter berjaya ditangkap dalam operasi pemburuan reptilia dewasa di Batang Oya pagi ini. 

Ketua Polis Dalat DSP Saga Chunggat dalam satu kenyataan, berkata kejayaan menangkap reptilia tersebut merupakan hasil kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dalat selepas 10 hari operasi tersebut dilancarkan.

Saga berkata, pihak SFC bertindak memasang jerat menggunakan kaedah pancing sementara PDRM pula menjaga keselamatan semua petugas semasa berada di atas bot. 

“Seramai enam kakitangan dan tiga anggota PDRM menggunakan tiga bot beroperasi memburu haiwan liar berkenaan setiap hari.

“Mereka juga mengadakan rondaan menggunakan bot pada sebelah malam untuk meninjau kelibat reptilia tersebut kerana haiwan liar itu lebih mudah dikesan pada waktu itu (malam),” katanya.

Menurut Saga, pancing buaya akan dipasang di lokasi di mana haiwan-haiwan dewasa berkenaan sering kelihatan. 

Jelas Saga, tugas tersebut sangat merbahaya kerana mereka akan pergi menghampiri reptilia ganas tersebut bagi tujuan mendapatkan saiz buaya tersebut. 

“Kebanyakannya, buaya buaya dewasa ini akan tenggelam sebelum sempat dihampiri,” ujar beliau lagi.

Katanya, buaya dewasa yang berjaya ditangkap dipercayai spesies Crocodylus porosus.

Tambah beliau, pihak SFC menjelaskan buaya dewasa sebesar ini mampu mengancam nyawa manusia jika berada di kawasan habitatnya. 

Justeru, beliau menasihati penduduk kampung terutamanya yang bergantung rezeki pada hasil sungai seperti nelayan, pengusaha pokok rumbia serta pengguna laluan sungai di Batang Oya sentiasa berwaspada dengan ancaman haiwan liar tersebut.

Operasi memburu buaya-buaya dewasa di sungai berkenaan yang dilancarkan pada 13 Mac lalu diteruskan sehingga 25 Mac ini.

Ia susulan kejadian serangan buaya pada 6 Mac lalu membabitkan seorang nelayan yang dikenali sebagai Alibaba Dahri, 52.

Semasa kejadian mangsa dikatakan sedang menjala udang sekitar 2 pagi di Kampung Kuala Oya.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui sehari selepas tragedi di tebingan Kampung Senau sekitar lapan kilometer dari kawasan perahunya dijumpai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here