Masalah teknikal atau kelalaian kontraktor?

Pemuda UMNO Bandar Tun Razak menggesa pemaju projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menghentikan kerja-kerja pembinaan di sektor terlibat tragedi yang meragut nyawa sehingga dipastikan keselamatan terjamin sepenuhnya.

Ketua Pemudanya, Ashrul Ashryzad Mohd Nashri berkata, kekerapan tragedi meragut nyawa yang sering berlaku membabitkan kerja-kerja pembinaan projek SUKE menimbulkan persoalan.

”Saya amat bimbang dengan kekerapan tragedi yang berlaku di laluan itu yang telah meragut beberapa nyawa. Adakah semua kejadian itu disebabkan oleh masalah teknikal atau kelalaian pihak kontraktor pemaju?,” soalnya.

Ashrul berkata, beliau telah membuat laporan polis berhubung insiden itu di Balai Polis Salak Selatan malam tadi.

Tambah beliau, sebagai pemaju sebuah projek pembinaan yang besar dan penting, aspek keselamatan tidak seharusnya dikompromi dalam apa juga keadaan.

Lebih-lebih lagi, ia membabitkan kerja-kerja pembinaan di bahagian atas jalan raya yang menjadi laluan utama pengguna kenderaan.

“Sepatutnya pemaju mengambil langkah-langkah keselamatan dengan menutup atau melencongkan laluan buat sementara waktu ketika kerja-kerja kritikal atau berbahaya sedang dibuat supaya tidak mengancam nyawa pengguna jalan raya di bawah,” tambahnya.

Menurut beliau, Pemuda UMNO Bandar Tun Razak turut mencadangkan supaya diwujudkan satu badan khas bagi menjalankan siasatan terperinci setelah dua kali kejadian seumpamanya menimpa pengguna jalan raya.

Sebagai pengguna harian jalan raya itu, sudah tentu perasaan bimbang membelenggu saban hari kerana jalan berisiko ini merupakan laluan ulang-alik ke tempat kerja, sekolah dan urusan harian, ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here