APM Tunjang Kesukarelawan Negara

Peranan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tidak dapat dinafikan dan mempunyai sumbangan besar kepada negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata APM merupakan organisasi pertahanan awam yang menjadi tunjang dalam kegiatan sukarelawan tanah air.

Katanya, ia terbukti apabila APM menjadi ahli tetap dalam Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa (ICDO) sejak tahun 2010 yang lalu.

“APM telah menzahirkan komitmen yang tinggi dan bertungkus lumus khususnya dalam pengurusan bencana dan kecemasan.

“Sepanjang pandemik COVID-19, APM telah mencurahkan khidmat bakti dan tanggungjawab yang besar sebagai petugas hadapan dalam membantu mengekang penularan wabak ini dan ramai dalam kalangan warga APM yang telah digerakkan ke kawasan luar bandar dalam Program Imunisai COVID-19 Kebangsaan yang giat dijalankan,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) di Ibu Pejabat APM, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kerajaan akan meneliti beberapa cadangan inisiatif untuk memperluas operasi kecemasan dan bencana bersepadu merentas agensi.
“Kerajaan akan meneliti cadangan pembinaan kompleks dan pusat latihan di negeri Perak, Sabah dan Sarawak, penstrukturan semula jawatan tetap di pejabat-pejabat negeri dan daerah serta meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat setempat dalam menghadapi sebarang bentuk bencana dan kecemasan,” katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan watikah pangkat kehormat kepada tujuh individu yang diketuai oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Selain itu, beliau turut membuat sesi penyerahan sebanyak 15 buah pacuan empat roda APM untuk kegunaan agensi berkenaan.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusuf serta Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here