Polis kenal pasti dalang sindiket pengemis

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tawau sudah mengenal pasti dalang sindiket yang mempergunakan individu terutamanya kanak-kanak untuk menjadi pengemis di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas (gambar kecil) berkata pihaknya sudah mengenal pasti individu yang menjadi dalang sindiket pengemis di sekitar bandar Tawau.

“Melalui maklumat yang diterima, individu terbabit akan menghantar pengemis yang dipercayai Pala’uh ke lokasi tertentu dan mengambilnya semula selepas selesai meminta sedekah.

“Sindiket terbabit juga menjadikan kawasan sekitar jalan raya di persisiran, tempat letak kenderaan, bank dan pasar raya untuk meletakkan pengemis tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perbarisan sempena Hari Polis ke-214 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini semalam.

Menurutnya, pihaknya juga banyak menerima aduan daripada orang awam yang risau pengemis terbabit berpotensi menjadi ejen kepada penularan wabak COVID-19.

“Kita sedia maklum, golongan pengemis terbabit memang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutamanya mengabaikan penggunaan pelitup muka,”katanya.

Beliau berkata, PDRM Tawau sudah mengadakan mesyuarat bersama agensi lain berkaitan masalah ini dan satu operasi bersepadu akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Perbuatan sindiket itu bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi ianya juga boleh menggagalkan usaha kita untuk membendung penularan wabak COVID-19.

“Saya menasihatkan kepada individu yang mengaut keuntungan melalui kegiatan itu supaya berhenti melakukannya terutamanya menggunakan kanak-kanak sebagai pengemis sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang,”katanya.

Dalam pada itu katanya, kejayaan Polis Tawau pada tahun 2020 selain daripada tangkapan dan rampasan dadah berprofile tinggi, pihaknya juga berjaya membendung penularan wabak.

“Sebenarnya kejayaan membendung penularan COVID-19 merupakan kejayaan terbesar PDRM Tawau bersama penguatkuasa lain dan masyarakat di daerah ini.

“Polis Tawau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk masyarakat sehingga kita berjaya menurunkan kadar jangkitan wabak sekaligus memudahkan tugas Polis yang merupakan peneraju utama penguatkuasaan SOP COVID-19,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here