Dr Nisha, daripada ratu ke barisan hadapan melawan Covid-19

Dr Nisha Thayananthan (pix) sangat memahami pahit getir dilalui petugas barisan hadapan dalam perjuangan memerangi pandemik Covid-19, bimbang dijangkiti selain berdepan waktu kerja yang panjang, sehingga pernah bertugas selama 36 jam.

“Berada di barisan hadapan sangat memenatkan dan menunggu langkah seterusnya untuk menurunkan jumlah jangkitan. Saya juga pernah dikuarantin 14 hari selepas bersentuhan dengan individu dijangkiti. Memikirkan saya telah terdedah dan sama ada saya akan disahkan positif ia satu situasi yang amat menyiksakan,“ katanya.

Doktor muda yang pernah beraksi di pentas peragaan sebagai model dan menyertai pertandingan ratu cantik ini dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama berkata bidang perubatan tetap menjadi keutamaannya. Justeru itu, beliau menyahut cabaran sebagai doktor barisan hadapan dan tidak pernah terdetik dalam hatinya menyesal memilih kerjaya dalam bidang perubatan.

Setahun berlalu, doktor kelahiran Seremban yang menempa nama selepas memenangi Miss World Malaysia 2019 “Beauty with a Purpose Award” terus tabah meneruskan khidmatnya dan berjaya menepis perasaan takut dijangkiti, syukur adanya vaksin COVID-19.

Meskipun terpaksa bertugas untuk tempoh masa yang panjang, Dr Nisha yang berkhidmat di Jabatan Pembedahan Am di Hospital Putrajaya menganggap ia asam garam profesion perubatan. Kini beliau lebih yakin akan keselamatannya dan lebih selesa merawat pesakit kerana telah divaksin. Menurutnya vaksin memberikan beberapa tahap perlindungan.

Beliau bersyukur kerana program imunisasi Covid-19 kebangsaan akhirnya dimulakan dan melihat vaksin sebagai kunci untuk mengakhiri pandemik ini selamanya.

“Sebagai seorang doktor dan individu, saya gembira dan lega akhirnya kita dapat vaksin untuk bantu kita lawan Covid-19 dan berharap ia akan hilang terus dari muka bumi.”

Menyedari ketakutan dan keraguan yang sengaja dibangkitkan mengenai vaksin Covid-19, sebagai Miss Earth Malaysia 2020/21 Dr Nisha turut membantu membangkitkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai vaksinasi bagi membolehkan Malaysia mewujudkan kekebalan komuniti secepat mungkin.

“Sejujurnya, saya agak gugup pada awalnya, bukan sebab vaksin, tapi sebab saya takut jarum. Saya alami kesan sampingan ringan seperti demam, menggigil, lesu, mual dan muntah setelah mengambil vaksin Pfizer-BioNTech dan kesan sampingan ini berbeza bagi setiap individu.

“Pada saya, kesan sampingan selepas divaksin terlalu ringan jika hendak dibandingkan dengan mereka yang menderita akibat dijangkiti virus itu,” kata graduan Universiti Malaysia Sarawak ini.

“Saya mahu negara kita kembali normal. Tidak sanggup rasanya melihat ramai dalam kalangan kita terpaksa menanggung derita,” kata Dr Nisha yang mempunyai saudara kembar, Nalini, seorang pegawai polis di Pulau Pinang.

Beliau yang juga seorang pempengaruh media bakal menyertai pertandingan ratu cantik Miss Earth di Manila, Filipina hujung tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here