Letupan bom bunuh diri di luar gereja di Makassar

Kejadian letupan bom di luar pintu masuk Gereja Katedral di Makassar, Sulawesi Selatan semalam yang dipercayai dilakukan oleh pengebom bunuh diri, mencederakan 14 orang setakat tengah hari semalam.

Setakat jam 12.30 tengah hari waktu Indonesia Barat,  polis Indonesia belum mengesahkan jumlah mereka yang terbunuh dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi waktu Indonesia bahagian tengah itu.

Menurut Ketua Divisi Hubungan Masyarakat Polis Indonesia Argo Yuwono, dua suspek yang menunggang sebuah motosikal cuba memasuki kawasan gereja berkenaan sebelum ditahan pengawal keselamatan gereja.

“Pengawal keselamatan menahan mereka dan sejurus kemudian berlaku letupan. Polis masih menyelidik jumlah bahagian-bahagian tubuh yang hancur akibat letupan itu (jumlah yang terbunuh dalam kejadian berkenaan),” katanya dalam sidang media di Jakarta.

Letupan itu turut melibatkan beberapa pengguna jalan raya yang sedang melalui jalan berkenaan.

Berdasarkan video yang tersebar di media sosial, bahagian tubuh yang berkecai bertaburan di kawasan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here