Lori treler rempuh Pacuan empat roda

Seorang lelaki parah selepas pacuan empat roda yang dipandunya dirempuh sebuah lori treler dari arah bertentangan dalam kejadian di Jalan Tuaran Bypass.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa berusia 49 tahun dikatakan memandu Toyota Hilux dari arah Likas menuju ke Tuaran.

Manakala, lori treler berkenaan pula yang bergerak dari arah bertentangan dikatakan terbabas selepas cuba mengelak sebuah lagi lori di hadapannya yang berhenti secara tiba-tiba.

Akibat daripada kejadian itu, pemandu treler berusia 37 tahun terbabit gagal mengawal kenderaannya yang terbabas dan terus merempuh pacuan empat roda berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sejurus pelanggaran itu, kenderaan pacuan empat roda merempuh sebatang tiang lampu sebelum terlanggar pokok di bahu jalan.

Katanya, pemandu pacuan empat roda mengalami kecederaan parah manakala pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu Toyota Hilux terus dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) menggunakan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang hadir di lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati, kedua-dua pemandu yang terbabit tidak disyaki mabuk namun sampel darah diambil bagi tujuan analisa dadah dan alkohol,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, siasatan juga mendapati keadaan jalan di lokasi kemalangan dan cuaca ketika kejadian juga amat baik.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here