Maqis rampas sayur di Pelabuhan Tanjung Pelepas

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan membawa masuk bekalan sayuran dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, Khamis lalu.

Pengarah Maqis Johor Nur Afifah A Rahman berkata, kontena yang membawa pelbagai jenis sayuran segar terutama Pak Choi dari China ditahan ketika pemeriksaan dijalankan Pegawai Penguasa Maqis pada 5 petang.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kontena terbabit membawa 11.436 tan metrik sayur bernilai RM78,553.

“Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai kesalahan label yang ditampal pada bekas sayuran yang diimport.

“Antaranya tiada maklumat berkenaan saiz dan gred sayuran seperti diikrarkan dalam dokumen pengimportan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Nur Afifah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

Katanya, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Katanya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda boleh tidak lebih RM75,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Nur Afifah dilaporkan Harian Metro menasihatkan semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here