KPM tutup sekolah jika ramai guru dikuarantin

Sebarang keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan penutupan sekolah dibuat berdasarkan penelitian mendalam daripada segi operasi kekurangan tenaga pengajar.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, penilaian operasi daripada KPM berhubung penutupan sekolah akan dibuat sekiranya sekolah berkenaan tidak boleh beroperasi secara efisien.

 “Sebagai contoh ramai guru dikuarantin sekali gus mengganggu pembelajaran pelajar baru kita akan putuskan untuk penutupan operasi sekolah terbabit.

“Dari segi penilaian risiko kes positif Covid-19 pula akan dibuat oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdasarkan analisa mereka sebelum memberi nasihat kepada pihak KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Sekolah Menengah Tasek Gelugor serta Penyerahan Peruntukan Penyelengaraan Sekolah di Parlimen Tasek Gelugor di sini hari ini.

Menurut beliau, SOP (prosedur operasi standard) berkaitan kes Covid-19 adalah jelas iaitu sebarang keputusan dibuat kementerian adalah berdasarkan nasihat PKD kerana mereka lebih pakar.

“Sudah banyak kali saya ulang bahawa penutupan sekolah tidak dilakukan secara semberono tetapi mengikut nasihat PKD.

“Penilaian risiko PKD yang menentukan sama ada kelas tertentu ditutup, tingkat, sebahagian bangunan atau seluruh sekolah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Radzi memberitahu, proses vaksinasi kepada guru-guru sedang dijalankan.

“Kita minta guru di seluruh negara untuk segera mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan memandangkan mereka antara kumpulan penting yang diberi vaksinasi,” kata Radzi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here