Resolusi PH beri jalan keluar kepada dilema Umno

Para pemerhati politik berpendapat, Resolusi Port Dickson yang dicapai Pakatan Harapan (PH) ketika pemukiman mereka yang berakhir semalam memberikan harapan kepada Umno bahawa mereka mempunyai alternatif lain selepas dibuli oleh Perikatan Nasional (PN).

Ini berikutan tekanan hebat yang diterima oleh pemimpin Umno yang mensasarkan sesetengah pemimpin mereka manakala parti mereka sendiri juga dalam kedudukan bahaya.

Pengulas politik Kim Quek ketika mengulas Resolusi Port Dickson berpendapatan bahawa PH sedia bekerjasama dengan pihak lain itu adalah ditujukan kepada kerjasama dengan Umno.

 “Resolusi PH untuk berunding dan bekerjasama dengan “mana-mana pihak “(berdasarkan agenda reformasi) menunjukkan bahawa ia bersedia bekerjasama dengan Umno, yang merupakan perubahan besar dari sikap PH sebelumnya untuk mengecualikan Umno,” kata beliau.

Bagi beliau, kerjasama PH-Umno adalah tiket pasti untuk memenangi pilihan raya akan datang.

“Ia juga memberi jalan keluar kepada Umno dari jalan buntu dalam menghadapi pilihan raya akan datang – samaada sebagai rakan yang tunduk kepada kehendak Bersatu-Pas atau bertanding secara solo,” kata Kim Quek dalam ulasannya.

Bagi Kim Quek, kerjasama PH-Umno seperti itu juga akan menjadi pemangkin kepada keinginan Umno untuk membuat reformasi ke arah parti yang lebih kukuh dan “akan membawa kestabilan jangka panjang dan akhirnya berjaya kepada negara.”

Kerjasama antara PH-Umno juga dilihat bakal menstabilkan negara ini dari segi politik dan juga hubungan kaum kerana dua tunggak utama politik berasaskan kaum berada dalam gabungan ini.

Ini kerana, kerjasama PH-Umno bermakna mendekatkan jurang antara Umno yang menjadi tunggak politik Melayu dengan DAP yang menjadi tunggak politik bukan Melayu.

Kehadiran PKR yang mewakili dan pelbagai kaum dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta AMANAH yang mewakili kelompok Islam akan melengkapkan kepentingan semua sudut rakyat Malaysia.

Dalam pemukimannya di Port Dickson yang berakhir semalam, PH membuat keputusan yang menegaskan calon perdana menteri mereka adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Resolusi itu juga memutuskan untuk membolehkan PH bekerjasama dengan pihak lain dengan syarat dasar dan prinsip perjuangan PH dipatuhi.

Resolusi itu tidak menyatakan dengan jelas apakah ‘pihak lain’ itu adalah Umno atau kumpulan Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, Muda pimpinan Syed Saddiq atau Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal.

Ramai yang berpendapat, PH akan sedia juga bekerjasama dengan kelompok lain dari Umno itu dengan syarat mereka menerima Anwar adalah calon PM mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here