Masalah kesihatan mental kanak-kanak, belia meningkat 2 kali ganda

Kuala Lumpur, Dis-
Masalah kesihatan mental melibatkan kumpulan umur kanak-kanak, remaja serta belia menunjukkan peningkatan dua kali ganda, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), ia meningkat daripada 7.9% iaitu 424,000 orang pada 2019 kepada 16.5% (922,318 orang) pada tahun lepas.

“Ini bermaksud peningkatan sebanyak dua kali ganda berdasarkan maklumat kita perolehi daripada NHMS,” katanya dalam pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta menteri kesihatan menyatakan secara terperinci berkenaan statistik isu kesihatan mental melibatkan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata dapatan NHMS juga turut menunjukkan peningkatan prevalen tingkah laku bunuh diri dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, idea bunuh diri dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan daripada 7.9% pada 2012 kepada 13.1% pada 2022.

“Bagi pelan bunuh diri, ia meningkat daripada 6.4% pada 2012 kepada 10.0% pada 2022.

“Peningkatan cubaan bunuh diri juga turut direkodkan daripada 6.8% pada 2012 kepada 9.5% pada 2022,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here