Muda dijangka ‘naik’ kapal Warisan selepas gagal didaftarkan

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dijangka akan bergabung dengan Warisan tidak lama lagi bagi membolehkan aktivis dan penggeraknya menyertai pilihan raya umum akan datang.

Langkah ini diambil berikutan kegagalan Muda didaftarkan sebagai sebuah parti yang sah.

“Muda akan naik kapal,” kata satu sumber kepada Malaysia Dateline merujuk kepada lambang Warisan iaitu kapal layar yang dinyatakan oleh parti itu “melambangkan teras perjuangan Parti Warisan Sabah iaitu harus berani serta memiliki ketahanan yang tinggi.”

“Satu pengumuman akan dibuat tidak lama lagi mengenai perkara ini,” kata satu sumber itu lagi.

Malam ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mengadakan program khasnya “Borak Jam 10” dengan Syed Saddiq Abdul Rahman, Presiden Penaja Muda.

“Kita Unite,” menjadi tajuk program khas yang akan berlangsung jam 10 malam ini menerusi Live Facebook.

Sebelum ini, Warisan telah menukar perlembagaannya dari parti Warisan Sabah kepada Warisan sahaja bagi membolehkan parti ini bergerak ke Semenanjung.

Sementara itu, parti Pejuang yang hendak didaftarkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed juga dikatakan akan menyertai Warisan jika ia gagal didaftarkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here