Kementerian terima input daripada 36 NGO

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menerima pembentangan rumusan maklum balas dan input daripada 78 orang yang mewakili 36 Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan aktivis di dalam program libat urus anjuran bersama kementerian dan Yayasan Perpaduan Malaysia yang telah diadakan baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, program libat urus ini adalah bagi mendapatkan input dan maklum balas dalam pembangunan Pelan Pemerkasaan NGO Perpaduan oleh KPN.

 “Program libat urus ini telah diselaraskan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia dan juga selaku penyelaras Pelan Pemerkasaan NGO Perpaduan, KPN Tan Sri Lee Lam Thye.”

“Penglibatan NGO daripada pelbagai kluster ini adalah selari dengan Teras 3 berhubung Ekosistem Perpaduan di dalam Dasar Perpaduan Negara.”

“Sesi perbincangan telah dibahagikan mengikut lima Teras Pelan Tindakan Perpaduan Negara yang berasaskan cita-cita Rukun Negara seperti Membentuk Masyarakat Yang Menghargai dan Mengamalkan Perpaduan, Memelihara sistem demokrasi Raja Berpelembagaan, Memperkasa Sosio-Ekonomi Yang Adil dan Saksama, Menjamin keterbukaan dan toleransi terhadap perbezaan agama dan tradisi budaya dan Membina masyarakat progresif melalui sains, teknologi dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Halimah turut menekankan tentang kesalinghubungan antara pihak kerajaan dan NGO antaranya sebagai ‘check and balance’ bagi kerajaan, ‘eyes and ears’ rakyat serta bagi mewujudkan ekosistem masyarakat sivil yang sihat dan matang.

“Pelan Pemerkasaan NGO Perpaduan tersebut juga merupakan pengisian di bawah Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021- 2025 yang akan dilancarkan pada Jun 2021 kelak,” katanya.

Yayasan Perpaduan Malaysia merupakan rakan strategik perpaduan KPN yang dilantik melalui Memorandum Persefahaman yang ditandatangani pada 24 November 2020.

Turut hadir pada program tersebut adalah Pengerusi Yayasan Perpaduan Negara,Professor Dr Suresh Govind, dan NGO termasuk Persatuan Anak Borneo Semenanjung, Gabungan Bertindak Malaysia, Yayasan Strategik Sosial, Persatuan Belia-Belia Malaysia, Yayasan Sukarelawan Siswa dan Pasukan Muhibbah Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here