Filem 18 Puasa di Kampong Pisang arahan sutradara terkenal, Mamat Khalid meraih kutipan RM3 juta selepas 10 hari ditayangkan di Astro First.
Kutipan tersebut sekali gus mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris di Astro First, tahun ini.
Astro First dalam kenyataannya menyebut, sambutan hangat penonton mengembalikan keyakinan ramai terutama peminat filem Melayu untuk terus menyokong karya tempatan.
Mengulas kejayaan filem garapannya meraih kutipan tinggi, Mamat berterima kasih kepada penonton yang memberi sambutan baik terhadap 18 Puasa di Kampong Pisang.
“Alhamdulillah, biarpun tayangan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang dalam era normal baharu, namun, atas sambutan positif penonton, filem ini mampu mencatatkan kutipan sebanyak itu dalam tempoh 10 hari.
“Insya-Allah, nantikan karya seterusnya tayangan eksklusif di Astro,” lapor media.
Filem hasil gabungan dua karya ‘masterpiece’ Mamat iaitu Kampong Pisang dan 16 & 17 Puasa itu
mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran pada bulan Ramadan.
Penampilan Bell Ngasri sebagai Barkoba bukan sahaja mengisahkan perangai orang yang tidak berpuasa bahkan penyelewengan sebahagian ahli politik.
Digelar sebagai “kluster orang politik”, 18 Puasa turut menyindir kru produksi atau orang filem sebagai golongan yang juga ramai dihumban ke dalam api neraka.
Pelbagai bentuk kemungkaran dilakukan Barkoba selain tidak berpuasa. Antaranya, tidak mengeluarkan zakat, menganiaya orang lain, tidak jujur menjual juadah berbuka puasa, berjudi di kawasan surau ketika solat tarawih dan enggan menolong orang lain yang benar-benar memerlukan.
Filem komedi itu turut dibintangi Kazar Saisi, Joey Daud, Afea Deana, Man Raja Lawak, Aziz M Osman, Dewa Sapri, Ahmad Yasin, Rashid Othman, Mat London, Yeop Hitler selain penampilan khas Ustaz Kazim Elias dan Abdul Rani Kulup.
Pelbagai dialog sindiran muncul dalam filem satira ini antaranya tentang band SOP masuk neraka kerana memotong Proton Saga serta kuih kodok yang terlalu keras seperti peluru orang Melaka pergi berperang sehingga kereta api pun berkecai jika dibaling.