Liverpool lapor kerugian sebelum cukai bernilai 46 juta pound

Liverpool  melaporkan kerugian sebelum cukai bernilai 46 juta pound untuk tahun kewangan berakhir Mei 2020, satu angka yang mencadangkan kenapa pemilik kelab bersedia untuk menyertai kejohanan kontroversi Liga Super Eropah (ESL) yang gagal dilaksanakan.

Hanya seminggu selepas Liverpool menarik diri dari ESL berikutan kritikan dan bantahan dari pelbagai pihak ,juara Liga Perdana Inggeris musim lepas itu mendedahkan impak kewangan ekoran pandemik COVID-19.

Kerugian pendapatan media dan pendapatan hari perlawanan di Anfield pada suku akhir adalah dari kesan perintah sekatan pergerakan, yang menyumbang kerugian 88 juta pound dalam tempoh lebih 12 bulan.

Liverpool dilaporkan menganggarkan bahawa mereka akan mengalami kerugian kewangan sekitar 120  juta pound pada masa penyokong akhirnya dibenarkan hadir ke dalam stadium.

Pada Mac 2020, Liverpool mengumumkan keuntungan 42 juta pound tetapi lebihan itu dihapuskan selepas musim lepas ditangguhkan pada bulan Mac dan kemudian dimulakan semula tanpa penonton.

Kesan pandemik meyakinkan pemilik Liverpool, Kumpulan Sukan Fenway (FSG) untuk menjual 10 peratus saham mereka bulan lepas untuk nilai 543 juta pound kepada pelaburan swasta, RedBird Capital.

Turut termasuk dalam pendapatan untuk tahun ini ialah kira-kira 3.4 juta pound yang diperolehi ketika memenangi Liga Juara-Juara pada 2019 ketika ia berada di luar tempoh laporan kewangan sebelum ini.

Lapan rakan kongsi baharu diumumkan semasa tempoh ini sementara Carlsberg memperbaharui kontrak sejak sekian lama.

Pendapatan komersial naik sehingga 28 juta kepada 217 juta tetapi ia tidak mampu menampung kejatuhan pendapatan media sehingga  59 juta kepada 202 juta dan pendapatan hari perlawanan yang jatuh sehingga 13 juta kepada 71 juta.

Kos gaji kelab juga meningkat kepada 325 juta dari 310 juta.

“Tempoh laporan kewangan ini adalah sehingga Mei 2020,” kata pengarah urusan Liverpool, Andy Hughes.

“Ia bagaimanapun, mula menunjukkan impak awal kewangan dari pandemik dan pengurangan mendadak aliran pendapatan utama.” 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here