JPSM Komited Bangunkan Pelancongan Kembaraan

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) terus komited dalam merancakkan pelancongan kembaraan yang berpotensi sebagai produk pelancongan khusus.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JPSM Datuk Zahari Ibrahim berkata kekuatan sumber hutan di Malaysia mampu menjadi “negara sehenti” untuk aktiviti pelancongan pengembaraan.

Aktiviti kembaraan air, darat atau udara di hutan oleh pelancong mampu menyumbang kepada peningkatan hasil ekonomi negara, katanya.

“Sehingga kini terdapat 114 Taman Eko Rimba dan 13 Hutan Taman Negeri meliputi keluasan 400,000 hektar dalam kawasan hutan perlindungan yang menawarkan aktiviti pelancongan kembaraan,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan Kursus Penilai Program Pensijilan Perniagaan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) di PD Forest, Sungai Menyala, Port Dickson hari ini.

Pelancongan kembaraan juga boleh menjadi alternatif baharu kepada sektor perhutanan terutamanya kepada semua negeri dalam menjana pendapatan.

Sementara itu, Pengerusi Tourism Productivity Nexus Uzaidi Udanis, berkata kerjasama dengan JPSM membolehkan perhutanan dilihat sebagai produk pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung.

“Sektor pelancongan lebih tertumpu kepada ‘menjual’ pengalaman kepada pengunjung dan perhutanan bakal memberi suatu kepuasan yang berbeza di samping memantapkan industri pelancongan dan kualiti produk untuk dinikmati pelancong,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 34 pegawai kanan JPSM ditauliahkan sebagai Penilai Pensijilan Perniagaan MaTEx bagi Kategori Pelancongan Kembaraan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk mengukuhkan standard ATO 2019 yang menumpukan faktor risiko dan keselamatan dalam industri sub-sektor pelancongan pengembaraan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here