Man City di ambang kejuaraan EPL

Manchester City diambang kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Crystal Palace 2-0 sementara Chelsea mengekalkan kedudukan di tangga keempat dengan menewaskan Fulham, juga 2-0 pada Sabtu.

City kini berkelebihan 13 mata di singgahsana liga selepas gol dalam separuh masa kedua dari Sergio Aguero dan Ferran Torres di Selhurst Park.

City akan disahkan juara Liga Perdana Inggeris untuk kali ketiga dalam empat musim jika pencabar terdekatnya, Manchester United tewas kepada Liverpool pada perlawanan lewat.

Jika United mengelak kekalahan, City boleh mengesahkan kejuaraan apabila menentang Chelsea di Stadium Etihad pada Sabtu akan datang.

Pada Selasa ini, City akan cuba melangkah ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama dengan kelebihan 2-1 dari perlawanan separuh akhir pertama menentang Paris Saint Germain (PSG).

Di Stamford Bridge, Kai Havertz menjaringkan dua gol ketika Chelsea menewaskan Fulham menjelang perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Real Madrid pada Rabu depan.

Havertz menjaringkan gol dalam kedua-dua babak untuk meletakkan Chelsea enam mata di hadapan pasukan di tangga kelima, West Ham United dalam saingan untuk kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Kekalahan mengekalkan Fulham dalam zon penyingkiran dan kurang sembilan mata dari zon selamat.

Namun bagi Brighton, mereka memastikan akan terus kekal dalam Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Leeds United 2-0.

Harapan Everton untuk memburu kelayakan ke Eropah terjejas apabila tewas 1-2 kepada Aston Villa di tempat sendiri.

Ollie Watkins meletakkan Villa di hadapan pada minit ke-13 tetapi Dominic Calvert-Lewin mengikat kedudukan enam minit kemudian.

Anwar El Ghazi menjaringkan gol kemenangan Villa ketika berbaki 10 minit permainan.” 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here