Seremban, Ogos-
Dua maut manakala empat lagi cedera ringan apabila kereta dinaiki mereka merempuh sebuah jengkaut yang sedang membantu kerja-kerja pemasangan kabel di persimpangan lampu isyarat Kampung Gelam, Port Dickson awal pagi tadi.
Ketua Polis Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang maut dalam kejadian 1.45 pagi itu terdiri daripada pemandu lelaki berusia 24 tahun dan penumpang wanita yang merupakan pelajar kolej berusia 18 tahun.
Empat lagi penumpang berusia dalam lingkungan 16 hingga 19 tahun cedera ringan, manakala pemandu jengkaut tidak mengalami sebarang kecederaan, tambahnya.
Aidi Sham berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku apabila kereta dari arah Port Dickson menghala ke Seremban itu cuba mengelak kon di atas jalan.Kenderaan itu bagaimanapun terbabas dan merempuh sebuah jengkaut yang sedang menggali lubang untuk pemasangan kabel bawah tanah.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu serta seorang penumpang kereta itu tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,”
katanya menambah, mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut.





















