Isu Palestin-Media Perlu Waspada Agar Tidak Jadi Mangsa Propaganda Zionis

Media Malaysia perlu berwaspada agar tidak menjadi mangsa propaganda Zionis sehingga menjadi rakan subahat dalam penderitaan penduduk Palestin, demikian menurut badan bukan kerajaan (NGO) propembebasan Palestin.

Boycott Divestment & Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) berkata oleh itu, tindakan pantas yang diambil Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah wajar mendapat pujian semua pihak yang ingin melihat pelaporan berita yang tepat terutama peristiwa berdarah yang kini berlaku di Palestin.

“BDS Malaysia hari ini benar-benar ikhlas memuji tindakan pantas yang diambil menteri berkenaan dalam isu pelaporan berita TV Mandarin di RTM pada 11 Mei lepas yang menyebut Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) sebagai militan atau pengganas.

“Kami mengambil maklum bahawa permohonan maaf telah dikeluarkan oleh RTM dan SOP (prosedur operasi standard) akan dikaji semula bagi memastikan tidak ada lagi kesilapan serupa pada masa akan datang,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Kenyataan itu juga menyebut memandangkan peristiwa yang berlaku di Gaza kini menjadi tumpuan seluruh dunia, gambaran yang tepat mengenai Hamas dalam pelaporan berita RTM ialah ‘pejuang kebebasan.’

“Penentangan bersenjata terhadap pencerobohan asing adalah dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa.

“Malah terdapat sebilangan besar istilah digunakan dalam propaganda Zionis dan yang serupa dengannya dalam media barat bagi mengaburkan isu Palestin serta menyembunyikan kebenaran jelek yang terpaksa dihadapi penduduk Palestin daripada pengguna media terutama di AS (Amerika Syarikat) dan Eropah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kemunafikan dan sikap dwistandard media barat yang terhutang budi kepada Zionis, seperti yang terdapat dalam istilah terbabit, adalah faktor penting dalam penderitaan berpanjangan penduduk Palestin dan kesukaran ke arah mencapai keamanan yang adil di rantau tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here