Kes dijangka meningkat 450 sehari di Kedah jika PKPD tidak dilaksana

Kes positif COVID-19 di Kedah boleh mencecah sehingga 450 sehari jika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dilaksanakan di zon merah termasuk daerah Kota Setar dan beberapa lokaliti di Kubang Pasu.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata kapasiti penggunaan kemudahan kesihatan juga semakin meningkat dan keadaan akan lebih meruncing apabila jumlah pesakit COVID-19 terus bertambah.

“Dengan pertambahan harian kes lebih 224, kelmarin 362…mahu tak mahu kena (laksanakan) PKPD di Kubang Pasu dan Kota Setar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Bantuan Palestin PAS Kedah di Kota Sarang Semut dekat sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD akan dilaksanakan selama dua minggu di 28 mukim di daerah Kota Setar bermula esok, susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan tersebut.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga sedang berusaha menyediakan pusat rawatan tambahan untuk pesakit COVID-19 tahap satu dan dua di Dewan Wawasan, Jitra yang dijangka mampu menempatkan 400 katil.

“Pusat ini akan beroperasi secepat mungkin selepas proses membaiki atap dewan selesai dan orang ramai di dalam kawasan PKPD dinasihatkan agar mematuhi semua arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Sementara itu, polis memaklumkan sebanyak 10 ‘laluan tikus’ di sekitar kawasan PKPD di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah di Kubang Pasu, ditutup sepenuhnya bagi mengekang pergerakan keluar masuk ke kawasan itu tanpa kebenaran.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata pihak polis mendapat kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pejabat daerah untuk penutupan laluan berkenaan dengan meletakkan konkrit batu di situ.

“Pihak kami juga menggerakkan anggota kumpulan pemantau yang melibatkan 64 orang untuk memantau pematuhan SOP (prosedur operasi standard),” katanya kepada pemberita di Jitra, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenar memasuki kawasan PKPD untuk menyampaikan sumbangan, sebaliknya segala bantuan boleh disalur kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kubang Pasu.

“Pihak pejabat daerah yang akan kumpulkan bantuan ini dan sampaikan kepada penduduk terlibat,” katanya yang turut memohon supaya penduduk mematuhi perintah kawalan demi kebaikan bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here