Polis Johor lumpuh sindiket dadah antarabangsa, rampas syabu RM4.5j

Polis Johor berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket penyeludupan dadah antarabangsa berikutan penahanan lima individu dan merampas dadah jenis syabu seberat 125.78 kilogram (kg) bernilai lebih RM4.5 juta, di dua lokasi berasingan di Muar, minggu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Parit Jawa, pada kira-kira 1 tengah hari hari, 12 Mei lepas, sebanyak 84kg dadah syabu bernilai RM3.02 juta dirampas.

Katanya, susulan itu, tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada seorang daripada suspek ditahan. Kesemua tahanan berumur antara 36 tahun dan 49 tahun dengan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Ini bukan kali pertama mereka (sindiket ini) menyeludup dadah. Kali pertama mereka berbuat demikian ialah pada 2 Mei dan berjaya lepas bersama 76 kg dadah. Kali kedua ini, baru berjaya ditangkap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini semalam.

Katanya, dalam serbuan itu polis turut menyita dua kenderaan jenis Honda dan Toyota dan membeku sebuah akaun bank melibatkan nilai keseluruhan RM72,762.50.

Ayob Khan berkata hasil siasatan, pihak percaya bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari utara Semenanjung dan menjadikan rumah sewa di Kampung Parit Jawa itu sebagai transit, sebelum diseludup ke Bengkalis, Indonesia melalui jalan laut.

Sementara itu, rampasan kedua melibatkan syabu seberat 41.78 kg bernilai RM1.5 juta diperoleh berikutan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun semasa sekatan jalan raya Op COVID-19 di Jalan Bakar Batu arah Melaka-Muar, pada 14 Mei lepas.

“Dadah yang disembunyikan dalam tempat simpanan khas di bahagian but kereta itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dan pasaran tempatan,” katanya.

Susulan penahanan ini, polis menyita sebuah kenderaan dan sebuah akaun bank membabitkan nilai keseluruhan RM81,612.94, katanya.

Menurut Ayob Khan, semua suspek direman tujuh hari sehingga 19 dan 21 Mei untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau boleh disebat, jika disabit kesalahan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here