Kuala Lumpur: Sentiasa mendambakan kehidupan indah dan sempurna menyebabkan wanita tempatan lebih rela memilih lelaki warga asing sebagai teman hidup untuk melayari alam perkahwinan.
Namun, panas disangka berpanjangan sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari apabila pasangan pilihan ‘sehidup semati’ mereka mula menunjukkan ‘taring’ sedikit demi sedikit selepas berkahwin.
Kaunselor Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, warga asing menjadi pilihan ramai wanita tempatan kerana sikap dan personaliti baik ditonjolkan mereka pada awal perhubungan.
“Boleh dikatakan rakyat asing jadi pilihan kebanyakannya wanita golongan B40 atas faktor lelaki itu rajin, romantik selain pandai melayan kehendak seksual pasangannya.
Menurutnya, ibarat terlepas mulut buaya masuk mulut harimau, itu hakikat sebenar perlu ditelan wanita tempatan selepas menyedari sikap sebenar pasangan pilihan dalam tempoh melayari bahtera rumah tangga.
“Selepas berkahwin, baru nampak ‘warna’ (perangai) sebenar mereka yang pada mulanya bersikap gentleman tiba-tiba berubah menjadi agresif, kasar dan panas baran.
“Malah, ada warga asing berkahwin dengan wanita (tempatan) ini cuma untuk kepentingan peribadi mereka misalnya mahu kerakyatan atau lesen perniagaan.
“Jadi, apabila dapat apa yang dimahukan, mereka terus tunjukkan warna sebenar serta tidak kisah lagi untuk meninggalkan isteri dan anak,” katanya.
Menurutnya, majoriti daripada lebih 200 kes masalah perkahwinan dikendalikannya membabitkan warga Bangladesh dan selebihnya negara lain.
Katanya, majoriti kes diuruskan dalam tempoh enam tahun itu, akhirnya memilih perceraian sebagai jalan penyelesaian.
“Majoriti perkahwinan sebegini bertahan antara empat hingga enam tahun. Namun peliknya segelintir daripada mereka sampai tahap patah tulang rusuk pun tidak buat laporan polis kerana malu dan ingin jaga maruah keluarga.
“Ada kes suaminya tidak bekerja dan bergantung harap wang bantuan diperoleh isteri.
“Apabila anak semakin ramai, beban kewangan pun semakin meruncing sehingga si isteri semakin tidak tahan dan mula mencari jalan keluar dengan bercerai,” katanya.
























