Ahli Parlimen mengatakan warga asing di PKPD akan segera diberi vaksin

PETALING JAYA: Kerajaan digesa membenarkan pemberian vaksin kepada warga asing khususnya yang tinggal di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata, kewajaran memberi vaksin kepada warga asing adalah satu langkah untuk mengurangkan berlakunya lebih banyak kawasan PKPD di negara ini selain membendung penularan wabak Covid-19.S

Saya menggesa supaya vaksinasi segera diberikan kepada semua orang yang tinggal di dalam kawasan PKPD (tanpa mengira kewarganegaraan mereka) setelah mereka diuji negatif Covid-19.

“Kita terpaksa membayar harga yang sangat tinggi apabila mengabaikan mereka yang bukan warga negara dalam program vaksinasi seperti yang terbukti berlaku di Kampung Sungai Penchala dan Kampung Segambut Dalam.

“Ini adalah kajian kes yang mesti diambil pengajaran oleh kerajaan persekutuan untuk mencegah berlakunya PKPD di tempat lain di seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, trak vaksin bergerak MYMedic@Wilayah hanya untuk warganegara Malaysia menjadi antara faktor banyak kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi di Kuala Lumpur terpaksa dilaksanakan PKPD.

“Baru-baru ini kawasan perumahan yang mempunyai warga asing yang begitu ramai (seperti di Kampung Sungai Penchala dan Kampung Segambut Dalam) terpaksa diarahkan perlaksanaan PKPD disebabkan jumlah jangkitan yang tinggi di kawasan tersebut.

“Negara kita tidak lagi mampu bertahan jika sebahagian daripada segmen dalam masyarakat tidak menerima vaksin dan mungkin mengakibatkan gelombang jangkitan lain yang memberi kesan ke atas populasi yang lebih besar,” tambah beliau.

Katanya, kerajaan perlu segera menghantar trak vaksin bergerak ke kawasan PKPD demi pemulihan negara dan mencapai imuniti kelompok.

“Demi kesihatan dan pemulihan negara kita serta pencapaian imuniti kelompok. Saya menggesa Kerajaan segera menghantar trak vaksin bergerak ke kawasan PKPD hari ini juga bermula di Kampung Segambut Dalam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here