TINDAKAN MAJLIS PERBANDARAN  ‘SEKSA,’ ‘BUNUH’ ANJING

Kulim, Julai 9-

Sebuah NGO yang membela nasib haiwan mengeluarkan surat tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membuat laporan polis terhadap kakitangannya kerana didakwa menyeksa dan membunuh seekor anjing.

Malaysian Independent Animal Rescue (MIAR) turut mendesak majlis itu mengambil tindakan terhadap pegawai terlibat, susulan video yang didakwa memaparkan kekejaman mereka tersebar di media sosial.

Surat tuntutan itu dikeluarkan oleh peguam MIAR, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Sohanpal, kedua-duanya adalah daripada Lawyers for Animal Rights.

MIAR memberi masa tujuh hari untuk MPKK mematuhi surat tuntutan berkenaan, sebelum memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Alor Setar jika tiada tindakan diambil dalam tempoh itu.

Dalam video berdurasi satu minit 27 saat yang tular itu, individu dikatakan pegawai MPKK dilihat menyepit anjing itu menggunakan satu alat. Seorang lelaki dilihat menendang anjing itu manakala satu lagi menyuntik sesuatu dalam haiwan itu.

“Apa dilakukan MPKK itu jelas menyalahi undang-undang,” kata MIAR.

“Hanya seorang doktor haiwan boleh memberi suntikan maut untuk seekor anjing jika keadaan memerlukannya.”

Tambahan katanya, polis mesti menyiasat kejadian itu mengikut Akta Kebajikan Haiwan, manakala MPKK perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangan yang melakukan kesalahan berkenaan.

“MPKK tidak boleh bersubahat menutup atau membiarkan perbuatan salah pegawainya.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here