Empat loji rawatan air beroperasi semula

Empat loji rawatan air (LRA) yang dihenti tugas susulan pencemaran Sungai Selangor kelmarin, beroperasi semula pada jam 10.30 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan kesemua LRA mengambil masa selama 10 jam untuk pencucian dan pengepaman bagi mengisi kolam imbangan sehingga paras empat meter, yang dijangka selesai pada jam 8.30 pagi ini.

“Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan terlebih dahulu.

“Ini termasuk memenuhkan semua tangki utama yang kosong, memastikan tekanan air mencukupi dan memastikan tiada ‘airlock’ dalam sistem perpaipan,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri.

Kelmarin, LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 pada 9 pagi susulan pencemaran berpunca daripada kilang menyelenggara mesin dan jentera di Sungai Gong yang gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat.

Ekoran itu, bekalan air 1.2 juta pemegang akaun wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas.

Elina berkata Air Selangor juga terus melaksanakan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 500 juta liter sehari (JLH), Empangan Sg Tinggi (800 JLH), Horas 600 (150 JLH) dan operasi pengepaman kolam air (582 JLH).

Jelasnya, langkah tersebut bagi membantu proses pemulihan sumber air mentah bagi keempat-empat LRA yang kini sedang beroperasi merawat air dengan kapasiti maksimum 2,850 JLH.

“Air Selangor juga mendapat bantuan sembilan lori tangki daripada operator air negeri lain seperti Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd, Syarikat Air Melaka Berhad, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd untuk diagihkan kepada pengguna terjejas.

“Sehingga kini, Air Selangor menggerakkan 114 lori tangki, menyediakan 22 pili awam di kawasan yang mempunyai bekalan air, menempatkan 70 tangki statik di 19 Pusat Khidmat Setempat serta mengagihkan air minum lima liter,” kata Elina lagi.

Maklumat terkini gangguan bekalan air tidak berjadual boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan pautan www.airselangor.com

Pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here