Kes penderaan kanak-kanak adalah jumlah tertinggi di N.Sembilan pada bulan Jun

SEREMBAN: Sebanyak 142 kes penderaan kanak-kanak direkodkan di Negeri Sembilan dalam tempoh enam bulan sejak Jan lepas, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Rosnah Sardi.

Katanya daripada jumlah itu, kes penderaan fizikal merekodkan angka tertinggi iaitu sebanyak 85 kes, diikuti penderaan seksual 36 kes, pengabaian (13), dera emosi dan ditinggalkan ibu bapa atau tiada ibu bapa, masing-masing empat.

Beliau berkata, kanak-kanak yang diselamatkan itu akan diserahkan kepada Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS), terdiri daripada saudara mara ibu bapa atau penjaga yang disyaki mendera mereka, atau mana-mana individu yang layak serta sesuai, untuk memberi perlindungan dan kebajikan kepada kanak-kanak terbabit.

Selain itu, mereka juga akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak atau tempat selamat yang diwartakan di bawah Seksyen 54 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi tempoh tiga tahun atau sehingga berumur 18 tahun.

Rosnah berkata, antara faktor berlakunya penganiayaan terhadap kanak-kanak ialah masalah kewangan, kecuaian ibu bapa, kepincangan dalam keluarga seperti pengambilan dadah, kelahiran anak tanpa perkahwinan yang menyebabkan bayi ditinggalkan.

Justeru, katanya, pelbagai usaha dilakukan JKM bagi menangani masalah tersebut, termasuk menyediakan khidmat sokongan dan advokasi kepada keluarga dan kanak-kanak yang berisiko tinggi terdedah pada penderaan dan pengabaian, melalui sembilan pusat aktiviti kanak-kanak di negeri ini.

Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Kesihatan Negeri menerusi program Kempen Keselamatan Kanak-Kanak ‘Sahabat Bijak’. “Program ini dijalankan di sekolah menengah dan rendah bagi memberi pendedahan mengenai isu keselamatan serta perlindungan kepada kanak-kanak. Sejak diperkenalkan pada 2017.

“Seramai 4,345 kanak-kanak mendapat manfaatnya,” katanya sambil menyeru semua pihak memainkan peranan mereka dan lebih peka terhadap isu sekeliling. “Orang ramai boleh menghubungi Talian Kasih 15999 dan WhatsApp di talian 019-2615999 yang beroperasi setiap hari sekiranya ada kanak-kanak didera oleh mana-mana pihak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here