Semakin ramai wanita menerima pesanan peribadi dari kakitangan PPV

Semakin ramai wanita tampil mengatakan mereka menerima pesanan teks yang tidak diingini daripada kakitangan yang bertugas di pusat pemberian vaksin (PPV). Mereka menimbulkan kebimbangan mengenai bagaimana maklumat peribadi seperti nombor telefon bimbit yang didaftarkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) telah disalahguna.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) dalam responsnya berkata tindakan telah diambil terhadap petugas terbabit yang telah dikenal pasti.Bagaimanapun ia tidak menjelaskan bagaimana petugas berkenaan memperoleh nombor telefon wanita terbabit dan berapa ramai yang menerima gangguan. Ini bukan kali pertama kejadian seperti ini dilaporkan.

Bulan lalu, seorang wanita menerusi Twitter berkata, seorang doktor di PPV yang memberikan khidmat rundingan sebelum suntikan vaksin menghantar pesanan teks yang tidak diingini kepadanya. Ketika dihubungi, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd – yang mengawasi petugas perubatan di PPV berkenaan memberitahu bahawa doktor berkenaan telah “disingkirkan” setelah siasatan dibuat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here