Perancah runtuh 1 mati, 2 cedera

KLANG: Seorang pekerja binaan maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian runtuhan perancah besi struktur pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) berhampiran Hotel Premiere Bukit Tinggi, di sini, hari ini. Identiti semua mangsa warga asing berusia dalam lingkungan 30 tahun itu bagaimanapun belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 2.14 petang.Katanya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, lima pekerja sedang bekerja  di atas struktur binaan terbabit.

“Akibat runtuhan itu, empat orang terjatuh dengan tiga mangsa tersepit manakala seorang lagi terselamat. “Kita mendapat bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Andalas dan Pelabuhan Klang untuk melakukan kerja menyelamat mangsa.

“Sekiranya kita mengenal pasti ada salah laku atau kecuaian jenayah, polis akan ambil alih siasatan,” katanya.Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut. “Bagi mangsa yang meninggal dunia, polis masih meneruskan siasatan dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here